Siapa Sheikh Jarrah.

*SIAPA SEBENARNYA SHEIKH JARRAH?*

Oleh: Ibn Jawi

Apabila kali pertama melihat hashtag #SaveSheikhJarrah yang viral di setiap media sosial, mungkin ada antara kita yang terfikir, “Siapa pulak paklong yang nama Syeikh Jarrah ni? lsraeI bom dia ke macam mana?”

Sebenarnya, Syeikh Jarrah ni nama sebuah penempatan yang terletak di timur Jerusalem, Palestin. Nama penempatan ini menjadi sebutan ramai apabila baru-baru ini pihak lsraeI ingin menghalau penduduk di situ dan merampas kawasan terbabit.

Tapi kenapa penempatan ni dipanggil Syeikh Jarrah? Macam nama orang ja. Nama paklong mana depa ambil ni?

Ya, memang penempatan ini bersempena nama seseorang. Tapi orang tersebut bukanlah “paklong biashe-biashe”. Nama sebenar beliau ialah Hussamuddin bin Syarafuddin Isa al-Jarrahi. Gelaran al-Jarrahi ini diberi oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi, sang pembebas Kota Jerusalem.

Ya, Syeikh Hussamuddin al-Jarrahi ini merupakan tokoh Islam di zaman Sultan Salahuddin al-Ayyubi dahulu. Bukan nama tokoh di zaman moden kini. Beliau merupakan seorang doktor peribadi Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Kerana itulah beliau digelar sebagai al-Jarrahi yang bermaksud “Pakar Bedah”.

Selain dikenali sebagai seorang doktor pakar, Syeikh al-Jarrah ini sebenarnya merupakan seorang ulama besar yang banyak membantu pentadbiran Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Beliau lah yang banyak menasihati Sultan Salahuddin agar segera menghapuskan pengaruh kerajaan Syiah Fatimiyyah sehingga fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah kembali kukuh.

Beliau memansuhkan laungan azan versi Syiah di masjid-masjid sekitar Mesir. Beliau dengan lantangnya naik ke mimbar memberi khutbah dengan memuji-muji nama Saiyidina Abu Bakar, Saiyidina Umar, Saiyidina Uthman dan Saiyidina Ali. Sebelum ini, hanya nama Saiyidina Ali sahaja yang dipuji di mimbar masjid ketika zaman pemerintahan Syiah Fatimiyyah.

Melihat semangat dan keberanian Syeikh al-Jarrah, Sultan Salahuddin al-Ayyubi dengan segera menitahkan agar proses penSunnian wilayah Mesir dijalankan. Baginda mengangkat Qadhi Isa al-Hukkari asy-Syafie sebagai hakim. Syeikh al-Jarrah mendirikan sekolah-sekolah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Ketika Mesir telah kukuh dengan akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah, maka Sultan Salahuddin al-Ayyubi melancarkan misi membebaskan kota Jerusalem. Syeikh al-Jarrah turut mengikuti seruan jihad ini selaku panglima. Tentera Islam berjaya membebaskan kota Jerusalem dari cengkaman Tentera Salib. Sultan Salahuddin al-Ayyubi melantik Syeikh Jarrah menjadi Gabenor di wilayah timur Jerusalem.

Inilah dia Syeikh al-Jarrah, seorang ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang juga merupakan doktor pakar dan seorang gabenor yang dihormati. Al-Asy’ari akidahnya, al-Syafie fiqihnya, al-Qadiri tarekatnya, al-Husayni nasabnya dan al-Jarrahi gelarnya.

Syeikh Hussamuddin bin Syarafuddin Isa al-Asy’ari asy-Syafie al-Qadiri al-Husayni al-Jarrah ini membuka sebuah pusat kesufian yang dikenali sebagai Zawiyah al-Jarrahiyyah. Disinilah beliau menyebarkan tarekat tasawufnya yang sanadnya bersambung sehingga Syeikh Abdul Qadir al-Jailani.

Beliau terus menetap di kawasan Jerusalem timur itu sehinggalah meninggal dunia. Beliau dimakamkan di dalam zawiyahnya sehingga menyebabkan kawasan tersebut dinamakan sebagai Syeikh Jarrah. Tempat ini menjadi salah satu tempat ziarah umat Islam bagi menyelami semangat jihad dan kerohanian beliau.

Di makamnya ada tertulis, “Inilah makam Emir Hussamuddin al-Husayn bin Isa al-Jarrahi. Semoga Allah merahmatinya dan merahmati orang-orang yang mencintai beliau. Wafat menuju Rahmat Allah pada bulan Safar 598 Hijrah (1202 Masihi).”

Makamnya tidak pernah sunyi dari bacaan tahlil, tasbih dan tilawah Al-Qur’an manusia yang datang dari segenap penjuru dunia. Inilah tanda cintanya masyarakat Islam terhadap ulama Sufi yang banyak jasanya ini. Kawasan sekitar makam beliau menjadi penempatan golongan elit Palestin terutamanya dari golongan al-Husayni sejak sekian lama.

Namun, tindakan biadap pihak lsraeI yang mengusir penduduk tempatan telah menyebabkan orang Palestin bangkit mempertahankan tanah air. Perkara ini juga turut mendapat perhatian Syeikhul Azhar, Imam Ahmad Tayyeb yang mengecam kebiadaban lsraeI.

Begitulah kehebatan seorang tokoh Islam masa lalu. Syeikh al-Jarrah ini seorang doktor, penasihat Sultan, panglima perang, Gabenor dan juga merupakan seorang ulama Sufi yang membangunkan masyarakat.

Maka orang-orang yang beginilah umat Islam kini perlukan jika hendak mengembalikan panji Islam di Masjidil Aqsa. Himmah (semangat) tanpa Hikmah (kebijaksanaan) sahaja tidak akan membolehkan Islam menang. Islam akan menang dengan ILMU, ILMU dan ILMU!